Friday, March 25, 2011

* Dupa Perpisahan *







Tika semboyan perpisahan
kita bergema
tanggal April, 2003
titis mutiaraku termahal
bukan lantaran terkilan
mahupun derita
justeru robohnya istana cinta...



Betapa ironi...
ia simbol ternokhtahnya
babak-babak samarinda
cerekarama mencengkam jiwa
menyaksikan kita
memegang watak utama
merobek sekeping hati
sembilu kekal stigma diri...










Akulah penyandang
watak seniwati airmata
sehebat Neng Yatimah!
Justeru kau
pelaku kasanovanya...



Sebermula tirai pelamin
anganku musnah
maka terhapuslah semua
episod pendustaan
segunung helah pelbagai alasan
di sebalik topeng misteri wajahmu
konon penyeri harapan ...








selama belasan tahun
serasanya bermati-matian kudamba
namun malangnya...
sejarah pedih duka
hak cipta terpelihara
kudakap akhirnya sebagai piala!






Bisikku; kasih sayang ke titik akhir.
Megahmu; kau obses sekali
menuruti sunnah nabi
satu terisi, masih berbaki
tiga kuota lagi!








Rayuku; jujur dan setialah sayang.
Angkuhmu; usah sesekali dipersoalkan
hubunganmu di luar sana
bersama wanita ikal mayang...


Ahh...Bukankah
dupa perpisahan itu
sebenarnya siap kau tempa
sebaik sahaja
akad kita terjelma..!






pohonku ya Allah Maha Pengasih...lindungi serta berkatilah
 perjalanan hidup hambaMu ini...
amin ya rabbal alamin...

2 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...