Sunday, August 14, 2011

Enigma Merdeka Ini




Kehadiran tanggal 31 Ogos, tarikh keramat Hari Kemerdekaan negara tercinta amat sinonim dengan nama Leftenan Muda Adnan bin Saidi . 

Tidak sempurna sejarah kemerdekaan Tanah Melayu tanpa diimbas-nobat  nama wira perkasa ini.  Keperkasaan yang akhirnya termetri kejam di lipatan sejarah; menyaksikan  Allahyarham yang berkhidmat di Kompeni C, Batalion Pertama Rejimen Askar Diraja terkorban ketika mempertahankan bumi Singapura di Bukit Chandu kini dikenali Kent Ridge dari serangan artileri Jepun ketika Perang Dunia Kedua.



Namun berbaloikah perjuangan wira tersohor itu...?


Ironinya...sejurus beliau ditawan tentera Jepun; diheret lalu dimasukkan ke dalam sekarung guni; digantung kakinya di sebatang pokok ceri...lalu berakhir hayatnya sedemikian ngeri lantaran ditikam bayonet bertubi-tubi tanpa belas kasihan !


Mubin Sheppard, seorang pegawai British yang menjadi tawanan perang selepas penyerahan diri tentera British telah memperakui kehebatan perjuangan rakan sepasukannya, Leftenan Muda Adnan Saidi sebagai..." Walaupun bilangan musuh jauh lebih ramai daripada bilangan askar-askarnya dan dibom secara berterusan, Adnan terus berjuang, tidak menyerah dan begitu dedikasi terhadap perjuangannya. Bahkan menyeru anggota-anggota platunnya - Biar putih tulang, jangan putih mata! "


Namun malangnya sejarah telah membuktikan 'berputih mata' sudahnya nokhtah perjuangan luhur anak Melayu tulen itu!


Sejenak Imbasan Sejarah:-

Modus operandi bumi Singapura jatuh ke tangan Lee Kuan Yew dan sekutu sekaligus penasihat nombor wahidnya ( Inggeris/Amerika ).  Dijelaga hitam dan disagat karatkan sikap Melayu sendiri yang jumud dan senteng fikiran.


Isu perkauman yang tenggelam timbul sehingga kini hampir 54 tahun usia kemerdekaan negara adalah isu 'basi' yang sedia tercanai sejak zaman berzaman.  Ketuanan Melayu telah diperlekeh; ibarat beri betis nak meratah peha, telah diigau-igau sekelompok golongan yang tidak pernah bercermin diri apatah bersyukur apa adanya!


Tambah naik tocang mereka bahana sikap kepimpinan kita yang MUDAH diperlekeh dan dibutakan  semangat patriotisme malah ketuanan bangsa Melayunya...

" Tak paa eehh... "
" Sabaq (sabar) noo... "
" Tak beeikk (baik) kata depa lagu tuu... "
Alangkah lembut gigi dari lidah !!


Puncak dari sikap " tak paa... " dan " tak paa... " sehingga Melayu dipijak kepala ini ialah peristiwa berdarah 13 Mei, 1969 terutama di pusat pentadbiran Kuala Lumpur dan kawasan-kawasan persekitarannya.


Siapa gerangan manusia terkutuk yang tak habis-habis meniup api perkauman, jika bukan Lee Kuan Yew, sekutu dan konco-konconya ?  Tika nilai kedaulatan bangsa Melayu kian dihenyak golongan lupa diri, gelincir akar umbi ini...konon sangka mereka isi namun hakikatnya cuma kulit luar atau kelongsong yang amat mudah tertanggal.  Isu perkauman tersebut telah dimanipulasi semaksimum mungkin oleh Lee Kuan Yew.


Teraju kepimpinan sudahnya berjaya diperkotak-katikkan serta goyah semangat ketuanan.  Akhirnya dengan berbekalkan tanda tangan ( tanpa perlu berkorban walau setitis darah! ), lerailah pelukan Tanah Melayu terhadap Singapura! 

Imuniti slogan ' Berjuang hingga ke titisan darah yang terakhir ' Allahyarham Leftenan Muda Adnan Saidi dan wira bangsa Melayu kita telah terkubur amat sadis dan meratah hati Melayu yang sedar diri hinggalah ke saat ini...




Bersama sebak di dada...
Andai sebaris nama perlu kujulang demi hakikat lantang semangat...Merdeka!  Merdeka!  Merdeka!
Seribu kali rela kudedikasi buat kalian...wira sejati bangsaku!

-  Al fatihah -


Buat anak bangsaku
bergelar Melayu...
Rapatkanlah barisan
wajakan kesedaran
usah digali telagah
akan berganda padah...
Ingatlah!  Kenanglah!


Seikat bak sesireh
Serumpun bak serai
Bagai telur sesangkar
Pecah satu pecah semua
Tamsilan...
Betapa unggul
Setia erat bangsa kita !



1 comment:

  1. Berbangga dengan anda yang punya cetusan semangat kemerdekaan dan patriotik yang tebal. Merdeka! Merdeka! merdeka!

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...